Kaedah Penetapan Gaji Pemilik Bisnes

Penetapan gaji untuk pemilik syarikat mahupun bisnes adalah berdasarkan pada hak individu. Terpulang kepada pilihan masing-masing.

Pertama, tidak menjadi kesalahan kiranya anda sebagai pemilik bisnes ingin menggunakan wang yang diperoleh syarikat untuk memenuhi keperluan asas harian khususnya kepada peniaga-peniaga baru yang sedang meningkat naik. Mungkin terdapat barangan yang masih belum mencukupi dan ingin dibeli, anda boleh menggunakan wang tersebut. Kedua, anda boleh menggunakan keuntungan syarikat untuk pelaburan semula keuntungan atau untuk perolehan jangka masa panjang. Jangan lupa untuk menyimpan sedikit jika perlu dan mahu.

Tiada benar tiada salah di dalam hal ini. Semuanya adalah bergantung kepada hak individu. Walau bagaimanapun, terdapat 3 kaedah untuk melakukan kedua cara yang diterangkan di atas – simpan duit untuk jangka masa panjang dan dalam masa yang sama, mengembangkan bisnes anda dengan menggunakan aliran tunai yang sama.

       1) Bayar jumlah gaji yang layak buat anda

Berkemungkinan besar anda mempunyai masalah di dalam menetapkan gaji anda sendiri sebagai pemilik bisnes. Anda boleh mencari jalan penyelesaian dengan memanfaatkan beberapa website seperti salary.com atau glassdoor.com untuk belajar cara menetapkan gaji anda sendiri.

Hadiahkan diri anda dengan gaji yang selayaknya anda terima. Sekiranya anda seorang pemilik perusahaan yang sekadar berada di bilik berpenghawa dingin, memantau tanpa melakukan sebarang kekuatan fizikal dan tidak banyak melakukan kerja, adalah selayaknya anda sekadar menerima RM1,000 (sekadar contoh).

Menurut sesetengah usahawan terkenal, mereka mengamalkan penetapan gaji untuk diri sendiri pada setiap bulan. Sekiranya pada bulan tersebut terdapat beberapa pinjaman atau lain-lain keperluan perniagaan yang perlu diuruskan, mereka tidak akan mengambil gaji pada bulan tersebut. Bagi mereka, utamakan perniagaan lebih dari keperluan sendiri. Cara ini menyebabkan mereka termotivasi untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah kewangan yang dihadapi.

       2) Jadikan setiap bulan sebagai bulan bonus

Kebanyakan pemilik bisnes akan menggunakan wang apa sahaja yang berbaki di penghujung hari sebagai gaji mereka sendiri. Baki itu dianggap ‘gaji bonus’ kepada mereka.

Adalah lebih baik kiranya seseorang pemilik perniagaan membayar semua perbelanjaan perniagaan mereka setiap bulan, termasuk cukai dan lain-lain. Baki akhir itulah dijadikan sebagai gaji anda sebagai pemilik bisnes itu sendiri.

Jumlah gaji pemilik bisnes berkemungkinan besar berbeza pada setiap bulan kerana keuntungan syarikat yang berbeda. Sebagai pemilik penuh perniagaan dan keuntungan syarikat, adalah tidak wajar anda mengambil gaji untuk diri anda sendiri dengan jumlah yang sama walaupun pada bulan tersebut syarikat tidak mencatatkan keuntungan yang tinggi.

       3) Penetapan gaji minimum bulanan anda

Sekiranya perniagaan anda adalah di dalam fasa yang sedang membangun, pentingkan perkara-perkara penting yang perlu dibayar terlebih dahulu. Antaranya adalah bayaran sewa bulanan, kereta dan perbelanjaan keperluan rumah. Jumlah wang yang diambil untuk melangsaikan bayaran tersebut merupakan jumlah gaji sebenar anda untuk bulan tersebut.

Baki kepada keseluruhan keuntungan dapat dijadikan pelaburan semula kepada perusahaan anda. Inilah cara terbaik untuk anda melipat gandakan keuntungan di samping tidak culas memberi gaji minimum kepada diri sendiri.

Kaedah yang dicadangkan tidaklah sesukar mana, anda hanya perlu bersikap jujur dalam melaksanakan kaedah-kaedah tersebut. Sekiranya struktur perancangan bisnes anda tidak melibatkan sistem pembahagian gaji untuk diri sendiri yang seimbang dengan keuntungan syarikat anda, jelas sekali ia bukanlah sebuah model bisnes yang realistik.

Kesimpulannya, tetapkan jumlah gaji anda berdasarkan pendapatan mahupun keuntungan terendah yang diperoleh syarikat setahun yang lalu. Juga, elakkan sama sekali menetapkan gaji dengan berdasarkan keuntungan tertinggi.

Sekiranya anda menggemari artikel seperti ini, sila berikan feedback mahupun respon di ruangan komen di bawah. Terima kasih 🙂

Oleh: N.S Firdaus

Photo by : Draper’s

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *