Semua orang mesti nak berjaya bukan? Tapi kadangkala sikap atau perasaan malas pasti akan sesekali hinggap ke dalam diri. Malah ada yang akan mula kurang memberikan tumpuan, pasif, lalu perjalanan bisnes pun semakin menurun. Di antara punca atau sebab berlakunya perkara yang sedemikian adalah disebabkan oleh 5 perkara di bawah ini.
5 perkara melalaikan atau ‘melaghokan’ di bawah inilah yang menjadi punca kepada kegagalan bisnes anda. Perkara-perkara yang sering kita lakukan sama ada secara kita sedar atau tidak.
1) Menghabiskan terlalu banyak masa di Internet
Haaa! Ini memang tidak dapat dinafikan. Surrounding kita sudah semestinya akan dikelilingi dengan teknologi seperti telefon bimbit, komputer dan lain-lain. Tambahan pula kalau perniagaan kita adalah di dalam bentuk atas talian, memang wajib lah akan dikelilingi dengan gadget betul?
Pernah tak anda menghadapi situasi bilamana tengah asyik buat kerja, tiba-tiba anda terasa macam “Eh, bukak Facebook la kejap. Tengok apa yang ada”. Dari sekejap, rupa-rupanya hampir sejam masa dihabiskan di Facebook sahaja. Oh no! Macam mana dengan kerja tadi? Siap ke tidak? Nampak tak betapa gagalnya kita dalam menahan nafsu untuk menyemak Facebook dan seangkatan dengannya?
Berkongsi tips bisnes dan upate produk jualan di media sosial itu betul, tambahan pula kepada mereka yang baru nak memulakan bisnes. Buat sikit, update Facebook, kerja sikit, update sini update sana. Terlampau asyik update di media sosial sampaikan anda mungkin akan kehilangan tumpuan di dalam bisnes tau!
Penyakit ini dikatakan agak sukar dibendung kerana ramai usahawan beranggapan media sosial mempunyai tumpuan serta pengaruh yang kuat terhadap produk mereka. Tetapi harus diingatkan, terlampau banyak masa yang dibuang untuk laman sosial sehinggakan urusan lain terabai akan mengabitkan kepada kejatuhan di dalam perniagaan anda. Maka, berhati-hati lah tau.
2) Kurang berhemah dalam melayani pelanggan
Pelanggan adalah tunjang kepada perniagaan anda. Tanpa mereka, perniagaan anda mungkin tidak akan berjaya sehingga tahap sekarang. Gagal melayani pelanggan dan melayani mereka dengan layanan yang buruk akan menjejaskan perniagaan anda. Berlagak seperti seorang yang sombong tapi ada hati nak berniaga, itu bukan caranya!
Terdapat cara untuk anda mengenali pelanggan. Ianya dikenali sebagai sentuhan peribadi.
Sebagai contoh, produk atau servis anda berkemungkinan sama kategorinya macam orang lain, tetapi anda tidak tahu cara bagaimana untuk membezakannya. Jadi bezakan ia dengan layanan istimewa daripada pihak anda agar pelanggan balik tidur pun tak lena. Mereka akan rasa terngiang-ngiang dan teringat dengan layanan anda itu.
Tapi ingat! Jangan sesekali tunjukkan emosi kurang stabil anda kepada mereka semasa urusan jual beli kerana ianya akan memberikan kesan yang negatif kepada pelanggan. Sembunyikan ketidakselesaan emosi anda dan sudah pastinya lebih ramai pelanggan akan cuba mendekati.
3) Mengelak Daripada Menghadapi Cabaran
Cabaran di dalam sesuatu perniagaan itu lumrah. Sama ada anda mahu tahu atau tidak, anda masih perlu menghadapinya. Hadapi situasi tersebut walau sukar sekalipun. Dengan cara ini, ia dapat ditangani dengan segera dan tanpa bertangguh. Bayangkan jika situasi anda itu ditangguh, masalah tersebut tidak akan selesai malah berlarutan. Secara tidak langsung, tumpuan pada bisnes pun akan terjejas.
Jangan mengelak sesuatu cabaran, tetapi hadapi dengan yakin. Belajar untuk menerima pandangan atau menuntut ilmu dari yang pakar.
4) Menjawab e-mel dengan serta merta
Hampir lebih dari 90% perniagaan di dunia sekarang menggunakan medium Whatsapp, e-mel atau lain-lain medium untuk berurusan. Medium ini memudahkan urusan jual beli berserta butiran yang disampaikan adalah dalam bentuk hitam putih dan meyakinkan.
Kelemahan medium-medium ini adalah, pesanan atau apa-apa sahaja yang berkaitan akan tiba dengan serta merta. Tiba-tiba ada sahaja notifikasi yang akan berbunyi, tanda kepada pesanan yang baru masuk. Apabila dah berbunyi, kita akan mula melihat dan membalas, kemudian adakalanya perbualan tersebut akan berlanjutan.
Jadi, cara terbaiknya di sini adalah, jadualkan masa untuk membalas kesemua e-mel, Whatsapp atau apa-apa sahaja pesanan tersebut.
Tetapkan waktu seperti waktu pagi atau petang sahaja atau mana-mana masa yang bersesuaian. Peruntukan masa selama 1 atau 2 jam sahaja untuk tugasan tersebut kecuali terdesak.
Urus masa anda dengan sebaiknya.
5) Penjatuhan harga yang kerap
Memang tidak dapat dinafikan, penjatuhan harga serta diskaun yang kerap akan menarik perhatian ramai pelanggan dan pengguna. Adakalanya akan berlaku persaingan harga antara penjual. Dah la harga runtuh, pakej dengan free gift pulak tu!
Taktik sebegitu adalah benar tetapi perlu dikawal. Perkara yang membabitkan harga akan mula meruncing jika anda tidak mengawalnya. Anda sebagai penjual, mempunyai hak untuk menetapkan harga yang berpatutan. Hak anda untuk memilih sama ada harga tersebut seharusnya menjadi sama atau lebih murah dari pesaing. Murah itu bagus tapi ianya harus dibuang jika anda masih belum di dalam kategori kaya raya.
Kesimpulannya, menjauhkan diri daripada 5 perkara di atas tidak menunjukkan anda sebagai seorang yang takutkan risiko. Risiko itu perlu tetapi anda seharusnya berwaspada dan berhati-hati.
Sekiranya anda menggemari artikel seperti ini, sila berikan feedback mahupun respon di ruangan komen di bawah. Terima kasih 🙂
Oleh: N.S Firdaus
Photo by : ashxatanqner